Sunday 27 February 2011

TAJUK
Sejarah dan Kegiatan Masjid AlBukhary, Alor Star, Kedah

DISEDIAKAN OLEH
Nama: Nur Farah Anis bt Abd Halim
No.Matrik: 2010263256
Kumpulan: ASD2Cn

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abdul Aziz bin Harjin

PROGRAM:
Diploma Sains

TARIKH SERAH:
3 Mac 2011 



ISI KANDUNGAN

1.      ABSTRAK
2.      PENDAHULUAN
3.      SEJARAH PENUBUHAN
4.      AKTIVITI MASJID
5.      PERANAN DAN KELEBIHAN
6.      HARAPAN
7.      KESIMPULAN


ABSTRAK

Masjid, secara bahasa, adalah tempat sujud manakala dari segi syaraknya, masjid merupakan tempat yang dipersiapkan untuk digunakan bagi menunaikan solat lima waktu secara berjamaah. Walaubagaimanapun, masjid seringkali digunakan bagi tujuan yang lebih luas bagi menyebarkan dakwah sebagai contoh, tempat menjalankan kelas fardhu ain, tempat menyampaikan kuliah agama serta tempat menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan terutamanya pada bulan Ramadhan.
Di antara dalilnya adalah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari: 323 dan selainnya dari Jabir bin Abdillah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
أُعْطِيْتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيْرَةَ شَهْرٍ وَ جُعِلَتْ لِي اْلأَرْضُ مَسْجِدًا وَ طَهُوْرًا فَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلّ
“Aku diberi lima hal yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku: aku dimenangkan dengan perasaan takut yang menimpa musuhku dengan jarak sebulan perjalanan, bumi dijadikan bagiku sebagai mesjid dan suci, siapa pun dari umatku yang menjumpai waktu shalat maka shalatlah….”

PENDAHULUAN

Saya telah diberikan tugasan oleh pensyarah subjek CTU(Fundamentals of Islam) saya iaitu Ustaz Abd Aziz b Harjin untuk menyelesaikan tugasan berkenaan dengan Sejarah dan Kegiatan Masjid AlBukhary, Alor Star, Kedah.
Kajian ini telah diadakan pada awal bulan Januari lalu di  Alor Star. Saya telah melawat ke Masjid AlBukhary ini yang beralamat di Mukim Alor  Malai, Jalan Langgar dan mengambil masa kira-kira 3 km dengan Bandar Alor Star. Institusi agama ini telah ditubuhkan di bawah pembiayaan sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary.




SEJARAH PENUBUHAN




Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.  Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.

Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia. Antara projek mega Yayasan AlBukhary adalah pembinaan Kompleks AlBukhary yang bernilai RM400 juta yang merangkumi Masjid AlBukhary, kompleks membeli-belah dan bazaar ‘Souq AlBukhary’, rumah kebajikan, pusat perubatan dan pusat komuniti.

Masjid AlBukhary merupakan sebuah bangunan yang telah ditubuhkan di Kompleks AlBukhary disamping beberapa institusi penting lain. Keluasan masjid ini meliputi 2.007 hektar iaitu 25% daripada pembangunan kompleks itu. Yayasan AlBukhary melalui Bukhary Realty Sdn. Bhd. telah membeli lot 6396 dan lot 2846 untuk pembangunan Kompleks Islam AlBukhary ini. Upacara pecah tanah Kompleks AlBukhary ini telah dilaksanakan pada 15 Januari 1999 oleh Tun Dr. Mahathir b. Mohamad. Masjid ini telah memulakan kerja-kerja pembinaanya pada awal Mac 2000 dan telah siap sepenuhnya pada 22 November 2001.

Masjid ini mempunyai dua tingkat, di mana tingkat atas berkeluasan 3,229.55mp  dan tingkat di bawah pula berkeluasan 5,157.2mp. keluasan ini dapat menampung seramai 15,000 jemaah dalam satu-satu masa. Tanah perkuburan terletak bersebelahan masjid dan hanya dibenarkan kepada kariah Alor Malai dan kariah masjid berdekatan. Kos pembinaan masjid ini dianggarkan berjumlah RM 27,751,376.48. Perasmian Masjid AlBukhary telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Kedah pada 06 Ramadhan 1422H bersamaan dengan 22 November 2001. 





Pembinaan Masjid AlBukhary adalah bercirikan rekabentuk masjid-masjid yang terdapat di Timur Tengah. Mihrab masjid ini dirujuk kepada zaman silam Syeikh Abdul Samad yang dibina di Natanz Iran. Mimbar pula diperbuat daripada kayu jenis Burma Teak. Senibinanya diambil daripada replica mimbar yang terdapat di Masjid Al-Qiblatain Madinah dan Mimbar Mamluk di Masjid Qaitbay Kaherah, Mesir. Mihrab adalah tempat imam memimpin solat, sedangkan mimbar adalah tempat khatib menyampaikan khutbah. Masjid ini mempunyai dua menara yang berdasarkan senibina Majid Nabawi di Madinah.

Bumbungnya pula dihiasi dengan tujuh buah kubah di mana hiasannya bermotifkan Kubah Masjid Shah pada waktu kerajaan Safavid di Isfahan. Di dataran masjid ini terdapat sebuah kolam yang dirujuk pada senireka Makam Imam AlBukhary di Samarkhand, Uzbekistan. Manakala rekabentuk pintu gerbangnya adalah berdasarkan senibina di Asia Tengah pada zaman Timurid. Kubah  juga merupakan salah satu ciri khas dari sebuah masjid. Seiring waktu, kubah diperluas menjadi sama luas dengan tempat ibadah di bawahnya. Sebagai contoh, kubah di masjid AlBukhary ini diimport khas dari Negara Arab yang mempunyai reka bentuknya yang tersendiri. Dalam kompleks masjid, di dekat ruang solat, tersedia ruang untuk menyucikan diri, atau biasa disebut tempat wudhuk. Di beberapa masjid kecil, kamar mandi digunakan sebagai tempat untuk berwudhu. Sedangkan di masjid tradisional, tempat wudhu biasanya sedikit terpisah dari bangunan masjid.




Tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid ini berkeluasan 1.028 hektar yang dibeli oleh Yang Berbahagia Tan Sri Syed Kechik bin Hj. Syed Mohamad Albukhary daripada Tuan Mohamad Sutan bin Madrasa. Yayasan AlBukhary telah menaiktarafkan taraf tanah perkuburan sedia ada. Kerja-kerja naik taraf kawasan tanah perkuburan islam kariah Alor Malai telah dimulakan pada 28 Mac 1998 dan siap pada 19 Februari 1999. Tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid ini hanya dibenarkan kepada kariah Alor Malai dan kariah yang berdekatan iaitu masjid berhampiran seperti kariah Masjid Rafeah di Taman Uda dan Masjid Sultanah.






AKTIVITI MASJID




Masjid AlBukhary sering mengadakan pelbagai aktiviti memandangkan masjid ini merupakan antara masjid yang besar dan terpenting di kawasan Kota Star. Seringkali dapat kita lihat penduduk berhampiran membanjiri masjid ini pada waktu-waktu tertentu seperti solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Masjid ini juga dengan pembiayaan Yayasan AlBukhary serta dana-dana lain sering menganjurkan majlis rumah terbuka, majlis berbuka puasa dan majlis korban. Majlis-majlis ini dianjurkan bertujuan menghiburkan hati penghuni rumah orang tua-tua dan juga anak-anak yatim yang tinggal di dalam asrama kompleks itu, di samping, merapatkan pertalian antara anak-anak yatim dengan penduduk setempat. Kebiasaannya, majlis akad nikah selalu diadakan di masjid ini.

Disamping itu, majlis bacaan Yassin sempena sambutan Nifsu Syabaan, ceramah  sempena malam Nuzul Al Quran, majlis Khatam Al Quran kerap kali dianjurkan. Ini bertujuan memupuk semangat cintakan masjid serta mengeratkan hubungan silaturrahim sesama individu yang menyertai solat berjemaah yang dilakukan. Tidak dilupakan juga kepada masyarakat sekeliling, masjid AlBukhary turut menganjurkan kuliah agama seperti kuliah Subuh pada setiap hari Jumaat. Pihak pentadbiran masjid akan menjemput penceramah-penceramah bagi memberi ceramah kepada penduduk setempat. Pada sebelah malam pula, kuliah agama dalam mendalami selok belok hukum dan tajwid Al-Quran dianjurkan.

Selain itu, pihak masjid turut menganjurkan kelas pengajian Al-Quran kepada kanak-kanak yang tinggal berdekatan secara percuma. Pengajarnya pula dipilih secara sukarela di kalangan imam-imam dan ustaz-ustaz yang sering mengimarahakan masjid ini. Pada hari tertentu, ada pula guru KAFA yang dibayar khas oleh pihak kerajaan bagi mengajar kanak-kanak ini bacaan Al-Quran serta tajwidnya. Malahan, masjid AlBukhary ini juga seringkali menganjurkan kelas pengajian kepada bakal-bakal jemaah haji yang membuat persiapan untuk menunaikan haji. Ustaz yang dipilih pula merupakan ustaz yang terkenal dengan kearifan dalam selok belok pengajian haji dan umrah di sekitar kawasan ini.

Kuliah bulanan turut diadakan dengan menjemput penceramah-penceramah terkenal. Kadangkala  pihak masjid turut menjemput pegawai-pegawai masjid yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal jenazah bagi berkongsi ilmu dengan penduduk setempat tentang cara bagaimana menguruskan jenazah, cara sembahyang jenazah yang betul dan sebagainya. Selain itu, memandangkan kompleks ini mempunyai asrama anak-anak yatim, maka pusat kaunseling bagi anak-anak yatim ini turut disediakan, Kaunselor boleh dikatakan kebanyakannya terdiri daripada pegawai masjid yang berpangkat Ustaz yang sememangnya sudah senang berbicara dengan anak-anak ini.

Aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan masjid turut dilakukan dikalangan pegawai masjid. Mesyuarat bulanan pegawai dan kakitangan masjid AlBukhary turut diadakan bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi dan mencari jalan penyelesaian bagi menyelesaikan maslah berkenaan secara sepakat. Pelbagai cadangan dan program turut diusulkan bagi dijalankan oleh masjid pada masa hadapan.


PERANAN DAN KELEBIHAN 

 


Peranan
Sebagai sebuah institusi yang dikunjungi ramai orang, masjid AlBukhary merupakan sebuah tempat percambahan fikiran dengan adanya kegiatan seperti ceramah, seminar kelas fardhu ain dan sebagainya. Pusat belajar Al-Quran Kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada pegawai-pegawai agama ditugaskan menyelia keseluruhan aktiviti ini. Kegiatan menguruskan jenazah turut dilaksanakan disini dengan diketuai oleh seorang ustaz yang juga merupakan pegawai agama. Selain itu, pusat belajar Al-Quran dan tafsir yang dikenali sebagai ‘Ulum Al-Quran’ bertujuan mengajar anak-anak mendekatkan diri kepada agama disamping mengenali dengan lebih mendalam lagi maksud ayat-ayat Al-Quran yang dibaca.

Masjid AlBukhary ini turut berperanan sebagai pusat ekonomi orang Islam. Ini adalah kerana disekeliling masjid ini terdapat pusat membeli-belah dan pasar yang menjual segala keperluan penduduk setempat. Di samping itu, masjid ini juga mempunyai kedai atau bazaar yang menjual beraneka barang. Bazaar sempena bulan Ramadhan selalu dianjurkan. Selain dari itu, kedai cenderamata yang menual artifak yang ada hubungannya dengan mukim atau Yayasan AlBukhary ini turut disediakan. Dengan adanya aktiviti ekonomi sebegini, hasil daripada perolehan pendapatan daripada perniagaan, peniaga dapat menyalurkan sumbangan-sumbangan dalam bentuk derma dan zakat.

Institusi masjid ialah sebuah tempat suci yang merupakan tunjang kepada keagungan agama Islam. Oleh yang demikian, anasir-anasir negatif yang bertentangan dengan segala ajaran Islam haruslah dijauhi dari institusi ini bagi memelihara kesucian masjid daripada tercemar. Institusi masjid juga merupakan sebuah tempat menjaga ayat-ayat suci Al-Quran. Sebagai contoh, pengunjung masjid selalu didedahkan dengan bacaan ayat-ayat ini melalui zikir, tadarus serta tilawah Al-Quran. Kadangkala imam berundur untuk member laluan kepada pengunjung masjid yang mempunyai bakat untuk menjadi imam untuk tampil ke hadapan dan menjadi imam. Secara tidak langsung, imam boleh menegur atau memperbaiki bacaan mereka yang melakukan kesilapan terutamanya dari segi bacaan surah-surah Lazim. Maka berperananlah masjid sebagai penjaga bacaan ayat-ayat suci.

Sesebuah masjid itu haruslah mempunyai kawasan lapang yang dihiasi dengan tumbuhan hijau bagi membolehkan para jemaah menjamu mata dengan ketenangan yang diperolehi apabila melihat kawasan hijau. Masjid AlBukhary juga turut mempunyai kawasan hijau yang dibina landskap yang indah. Sebagai contoh, kolam turut dibina di  dataran masjid ini yang merujuk pada senireka Makam Imam AlBukhary di Samarkhand, Uzbekistan. Selain daripada itu, masjid AlBukhary juga dijadikan sebagai pusat tamadun Islam. Ini bertujuan mengembalikan pengaruh Islam pada zaman kegemilangan Islam seperti suatu masa dahulu. Ruang seperti pameran untuk tokoh-tokoh imam masjid turut dipamerkan untuk pengetahuan umum.

Kelebihan
Antara kelebihan masjid ini ialah kedudukan masjid yang terletak di tengh-tengah Bandar Alor Star dan berdekatan dengan kawasan kediaman penduduk. Ruang letak kereta yang disediakan juga sangat luas. Masjid AlBukhary merupakan salah sebuah masjid yang terbesar di Alor Star selain daripada masjid Zahir. Masjid ini mampu memuatkan hampir 15,000 orang dalam satu-satu masa. Kapasiti inilah yang membuatkan masjid ini sering dipilih untuk mengadakan sebarang aktiviti yang melibatkan penglibatan anggota masyarakat. Selain itu, tanah perkuburan yang luas turut disediakan bersebelahan kawasan masjid ini. Tanah perkuburan ini khas disediakan kepada penduduk di kawasan setempat.

Masjid AlBukhary turut mempunyai kawalan keselamatan yang amat cemerlang. Ini kerana beberapa orang pengawal ditugaskan untuk memantau kawasan sekeliling masjid. Setiap kereta yang memasuki kawasan masjid harus melepasi pemeriksaan pengawal dahulu. Ini menunjukkan bahawa masjid ini sangat mementingkan keselamatan para pengunjungnya. Keindahan landskap di sekitar kawasan masjid turut menarik perhatian pengunjung. Ini kerana kebanyakan orang yang dating ke masjid ini tertarik dengan senibina serta landskap masjid ini yang penuh dengan kehijauan flora serta kolam unik yang dibina di dataran masjid.


HARAPAN

Sebagai umat Islam, kita haruslah melaksanakan konsep masjid sebagai sebuah institusi yang menyebarkan dakwah serta mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan bagi memantapkan lagi agama Islam. Kesedaran antara umat Islam hendaklah ditingkatkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk beribadah semata-mata bahkan masjid merupakan pusat kegiatan pelbagai aktiviti umat Islam sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah. Selain itu, institusi masjid haruslah dijadikan sebagai pusat perkembangan dan pembangunan Islam dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertaqwa kepada Allah serta melahirkan insan yang ikhlas dan tawaduk.

Di samping itu, masjid boleh dijadikan sebagai tempat perkembangan ilmu, dimana perpustakaan mini yang mengandungi tafsir Al-Quran, buku-buku sirah serta risalah keagamaan harus diwujudkan. Melalui inisiatif ini, umat Islam boleh menambah ilmu pengetahuan serta masjid boleh menjadi salah satu sumber rujukan ntuk hal keagamaan. Masjid juga boleh dijadikan sebagai pusat percambahan fikiran dengan adanya dialog, ceramah dan sebagainya daripada golongan alim ulama dan anggota masyarakat. Melalui cara ini, kita dapat mempertingkatkan pemikiran dan menajamkan akal.

Masjid juga boleh berfungsi sebagai pusat pendidikan dimana anggota masyarakat boleh belajar Al-Quran dan sebagainya. Amalan ini haruslah digalakkan dalam kalangan anggota masyarakat terutamanya kanak-kanak yang sedang membesar. Bacaan tafsiran juga boleh didedahkan agar mereka dapat memahami isi kandungan Al-Quran dengan lebih mendalam lagi. Dengan adanya ustaz-ustaz yang bertauliah, masjid ini boleh juga mengajarkan kelas pengurusan jenazah, kelas persediaan menunaikan haji dan umrah serta kelas-kelas lain yang member manfaat kepada penduduk setempat.


KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, dapat saya katakan di sini bahawa Masjid AlBukhary sememangnya memberi banyak faedah dan manfaat kepada penduduk setempat. Segala kemudahan dan infrastruktur yang disediakan telah digunakan sebaiknya oleh semua pihak. Dengan adanya masjid seperti ini, pelbagai aktiviti boleh dijalankan dan sedikit sebanyak ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk setempat di samping mengukuhkan perpaduan. Masjid AlBukhary sememangnya sebuah masjid yang dibina khas untuk penduduk setempat serta penghuni-penghuni yang menetap di asrama Kompleks AlBukhary itu. Penduduk setempat diharap dapat mengimarahkan lagi masjid itu agar masjid itu tidak lapuk ditelan dek zaman. Golongan remaja dan muda mudi juga seharusnya mengambil langkah mendekati diri ke surau kerana merekalah bakal peneraju masjid itu kelak. Sesungguhnya, dapat saya katakana di sini bahawa Masjid AlBukhary, Alor Star, Kedah memberi 1001 makna dan amat berguna kepada penduduk Islam di Bandar ini.